Isnin, 2 Julai 2012

KARNIVAL BOLASEPAK


Salah satu aktiviti tahunan Program Pembangunan Bolasepak Yayasan Negeri dengan kerjasama PBNS dan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan ialah mengadakan karnival antara pusat-pusat latihan. Seperti di dalam perancangan, karnival akan dijalankan dua kali setahun iaitu pada awal tahun dan akhir tahun. Namun begitu,  disebabkan pelbagai kekangan, karnival awal tahun hanya dapat  dijalankan pada 7hb dan 8hb Julai 2012 (Sabtu dan Ahad) di padang SMK King George V, Seremban. 
Seperti tahun lepas, karnival awal tahun diadakan dengan melibat semua pusat latihan sekolah rendah dan sekolah menengah. Tetapi kali ini, karnival awal tahun hanya melibatkan pusat latihan sekolah rendah iaitu 8 buah pusat latihan Bawah 11 tahun dan 8 buah pusat latihan Bawah 12 tahun seluruh Negeri Sembilan. Walaupun pusat latihan sekolah menengah tidak terlibat kali ini, mereka telah menyertai pertandingan bolasepak  antara daerah Majlis Sukan Sekolah-sekolah Negeri Sembilan yang telah diadakan dalam bulan Mei yang lepas. Semua pusat latihan sekolah menengah (Bawah 15 tahun dan Bawah 18 tahun) menyertainya sebagai pasukan satu daerah.
Salah satu objektif mengadakan karnival ialah untuk memberi pendedahan kepada pemain yang menyertai program ini kepada situasi pertandingan dan mengaplikasikan kemahiran yang mereka pelajari 4 hari seminggu. Karnival kali ini buat pertama kalinya diadakan juga pertandingan kemahiran asas di mana setiap pusat latihan diwakili oleh 3 orang pemain. Diharapkan acara ini akan dapat memberi peluang kepada pemain untuk menunjukkan kemahiran individu disamping kemahiran sebagai satu pasukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih di atas komen anda